Sabtu , 16 Januari – Mewakili seluruh ahli Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) , Jawatankuasa KARISMA Nasional telah menziarahi keluarga Ukhti Siti Ummirul Syafirah di Taman Alma Jaya 2, Bukit Mertajam.
Ukhti Siti Ummirul Syafirah yang kemalangan pada ahad petang minggu lalu masih dalam wad kecemasan dan tidak sedarkan diri. Turut terlibat dalam kemalangan tersebut ialah arwah bapanya , Allahyarham Abd Wahab yang meninggalkan seorang isteri dan empat anak perempuan.
Perubahan terbaru yang dimaklumkan oleh sahabat lain yang datang menziarahi Ukhti Ummirul isnin semalam , beliau sudah menunjukkan gerakan pada kelopak mata jika namanya dipanggil. Kemalangan telah menyebabkan Ukhti Ummirul patah kaki, mengalami kerosakan buah pinggang tahap tiga dan pembekuan darah dikepala. Sehingga kini pembedahan telah dilakukan beberapa kali untuk membuang darah beku tersebut.
Pn Faridah Ismail, ibu kepada Ukhti Siti Ummirul Syafirah berkata anak sulongnya itu sangat rapat dengan ahli keluarga dan kemalangan yang berlaku ini sedikit sebanyak mencuri keceriaan adik-beradiknya yang lain ; Siti Ummirul Syakila 19, Siti Ummirul Syamirah 17 dan Siti Ummirul Syafiqah 14. Meskipun Puan Faridah kehilangan suami yang dikasihi namun jelas ketabahan diraut wajah tenangnya. Katanya lagi, beliau harus tabah agar anak-anaknya yang lain turut mendapat kekuatan di sebalik apa kejadian yang menguji mereka.
Dari kiri ; adik Ummirul Syamirah, adik Ummirul Syafiqah dan adik Ummirul Syakillah.
Akhawat Ikhwah Donation Drive telah dilancarkan bagi mengutip sumbangan untuk Ukhti Siti Ummirul Syafirah. Sebahagian sumbangan yang terkumpul tersebut telah pun diserahkan kepada keluarga beliau. Kutipan AIDD masih berjalan dengan harapan sumbangan yang dihulurkan kepada keluarga Ukhti Ummirul dapat membantu mereka memandangkan sebelum ini hanya ayahnya sahaja yang mencari sumber pendapatan bagi menampung sara hidup dan persekolahan adik-beradik.
Bergambar sebelum pulang
Sumbangan Akhawat Ikhwah Donation Drive boleh disalurkan atas nama; Nur Idayu Binti Abd Rahman:
AKAUN MAYBANK: 1141-6084-2669
AKAUN BANK ISLAM: 1203-802-523-2541
( Mohon maklumkan> - jumlah, tarikh dan nama akaun [MBB/BIMB] setelah sumbangan dibuat.
Bersama kita terus mendoakan kesembuhan buat Ukhti Ummirul Syafirah dan kebaikan buat beliau dan seluruh isi keluarganya.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya :“Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan kepada orang yang kesempitan, Allah akan memudahkan kepadanya di dunia dan akhirat…”(Hadith riwayat Muslim dari Abu Hurairah).
Malam itu saya tak tenang, masakan tidak. Kiriman sms yang dihantar seorang kakak juga sahabat lama , benar-benar menghibakan perasaan. Sebak. Pada mak ayah dan kakak yang berada dirumah turut saya khabarkan. Meskipun saya tahu mereka tak pernah kenal. Ayah yang bertanya lebih-lebih tentang latar belakang sahabat saya itu akhirnya memahami yang saya juga belum pernah mengenali beliau. Namun saya pasti ada sesuatu antara kami, mungkin kerana hati kami telah lewat menemui cintaNya pada jalan yang sama.
Untuk Ukhti Ummirul , moga Allah menumbuhkan kekuatan , kesabaran pada jasad apatah pada sekeping hati itu. Kecederaan yang dialami bukan sedikit. Kata doktor – beliau patah kaki, rosak buah pinggang [stage 3] dan juga terdapat darah beku dalam kepalanya. Kemalangan lewat petang ahad lalu itu meragut nyawa insan yang disayangi- ketua keluarga kepada ibu dan 3 adik-beradik perempuan lain. Moga arwah ayahnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan para solehin.
~ Nama ukhti Siti Umirul Syafirah yang tertera di senarai paparan wad Hospital Pulau Pinang, wad ICU 10 ~
Sahabat, meski kita jauh..ditambah pula kekangan masa mungkin sedikit menyukarkan kita untuk menziarahi beliau.. Namun saya pasti doa-doa yang dikirim lewat dalam munajat dan sujud-sujud kita akan hampir kepada Ummirul, sampai kepada al-Khaliq . Teruslah mendoakan… Sungguh , rahsia Tuhan atas rencananya. Dan DIA punya sesuatu yang lebih baik untuk hamba-Nya.
Ummirul bersabarlah. Moga Allah sembuhkan dirimu dan beri yang terbaik untukmu. Begitupun untuk seluruh ahli keluargamu. insyaAllah moga Allah beri ruang untuk jasad kita bertemu.
Jazakumullahukhayr kepada akhawat IPG P.Pinang yang datang menziarahi Ukhti Ummirul, kata-kata semangat yang dikirim melalui email dan sumbangan Akhawat Ikhwah Donation Drive [AIDD].
Sumbangan Akhawat Ikhwah Donation Drive boleh disalurkan atas nama; Nur Idayu Binti Abd Rahman:
AKAUN MAYBANK: 1141-6084-2669
AKAUN BANK ISLAM: 1203-802-523-2541
mohon maklumkan> -jumlah, tarikh dan nama akaun [MBB or BIMB] setelah sumbangan dibuat. [ jkkebajikannasional@gmail.com ].
Hanya kepada Allah jualah kita sandarkan harapan..
Jika pihak lelaki mempunyai hak untuk melamar dan pihak wanita mempunyai hak untuk menolak, maka sebaliknya pun begitu juga. Pihak wanita juga berhak untuk menawarkan diri kepada pihak lelaki. Namun , perkara ini jarang dilakukan oleh kaum hawa kerana perasaan malu yang mendominasi diri. Dalam syariat perkara ini tidak dilarang. Bukankah sahabat Umar juga pernah menawarkan Hafsah puterinya kepada Abu Bakar ra. mahupun Uthman bin Affan ra. dan perkara ini tidak menjadikan darjat Hafsah turun kerana Hafsah akhirnya dilamar oleh Rasulullah saw manusia terbaik daripada ummat ini.
Hal ini diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar ra., beliau berkata bahawa :
“ Umar bin Khattab ra. ketika Hafsah menjanda dari Khunais bin Khudzafah as-Sahmi ra. Umar bin Khattab ra berkata : “ Aku datang kepada kepada Uthman bin Affan ra. lalu aku tawarkan kepadanya Hafsah. Maka Uthman berkata “ Aku akan melihat urusanku “ lalu aku berdiam selama beberapa malam , kemudian Uthman datang kepadaku seraya berkata , “ Tampak olehku bahawa pada saat-saat ini aku belum berhasrat untuk berkahwin.” Umar berkata , ‘ Lalu aku temui Abu Bakar as-Siddiq ra. lantas kukatakan , ‘ Jika engkau mahu , aku ingin mengahwinkan engkau dengan Hafsah binti Umar ‘. Maka Abu Bakar diam sahaja dan tidak menjawab sedikit pun dan aku merebutnya setelah Uthman. Maka aku diam selama beberapa malam, kemudian Rasulullah Saw melamarnya, lalu aku nikahkan beliau dengan baginda ar-Rasul. Setelah itu Abu Bakar menemuiku seraya berkata, “ Engkau telah menemuiku untuk menawarkan Hafsah kepadaku , tetapi aku tidak menjawab sedikitpun. Umar berkata ‘Benar’. Abu Bakar berkata , “ Tidak ada yang menghalangiku untuk menjawab tawaranmu itu melainkan aku telah mengetahui bahawa Rasulullah Saw pernah menyebut-nyebut dia (Hafsah) , maka aku tidak ingin membukakan rahsia Rasulullah Saw . dan seandainya Rasulullah Saw meninggalkannya, niscaya aku menerimanya . ” [ HR Bukhari]
-Pertolongan daripada pemimpin ummat
Meminta bantuan kepada pihak yang dianggap mempunyai pengaruh seperti pemimpin ataupun guru dalam menjemput jodoh tidaklah salah. Ada beberapa contoh dalam perkara ini sebagaimana dalam riwayat berikut :
Sahl bin Sa’ad as Sa’idi ra. berkata : “ Bahawa seorang wanita datang kepada Rasulullah Saw lalu seorang lelaki dari sahabat beliau berdiri seraya berkata, “ Wahai Rasulullah , jika engkau tidak berminat kepadanya , maka kahwinkanlah aku dengannya. Maka Rasulullah Saw berkata , “ Pergilah, sesungguhnya aku telah mengahwinkan kamu dengannya dengan ayat Al-Quran yang engkau hafal (dan engkau ajarkan kepadanya sebagai maskahwin ) ” [HR Bukhari dan Muslim]
Ada juga dalam satu riwayat lain seorang lelaki yang mengadukan wajahnya yang buruk sementara dirinya juga termasuk orang yang miskin kepada Rasulullah Saw kerana kesulitan mendapatkan jodohnya. Maka oleh itu Rasulullah Saw disuruh melamar seorang putrid fulan untuk beliau . dari situ ternyata Allah memberi kemudahan dengan menemukan jodohnya. Demikianlah bahawa meminta bantuan pemimpin ummat atau pihak lain seperti naqib untuk mendapatkan jodoh adalah tidak salah dan sebagai langkah ikhtiar kita.
-Membina kematangan diri
-Emosional
Mendewasakan emosi sebelum memasuki dunia pernikahan adalah sangat penting bagi kedua pasangan yang hendak menikah. Pada saat memasuki perkahwinan akan lebih utama untuk berdikari secara emosional. Seharusnya kita mampi melepaskan kebergantungan dan keterikatan emosi dengan orang tua dan kerabat yang lain.
Apabila rumah tangga yang masih belum terikat secara emosi antara suami isteri akan mudah menyebabkan isteri lebih kuat ikatan ikatan emosi kepada orang tua berbanding kepada suaminya. Setiap kali datang permasalahan ia akan terus lari kepada orang tuanya tanpa berusaha terlebih dahulu menyelesaikannya bersama suaminya. sedangkan ketaatan yang lebih utama bagi seorang wanita yang sudah mempunyai suami setelah taat kepada Tuhannya adalah taat kepada suaminya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah :
“ Sebab itu maka wanita yang solehah , ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). [An-Nisaa’ ; Ayat 34]
Juga dalam hadis Rasulullah Saw :
“ Aisyah ra. berkata : “ Saya bertanya kepada Rasulullah Saw “ Siapakah orang yang paling besar haknya terhadap seorang wanita? Sabdanya: Suaminya! ” Lalu saya bertanya: “ Siapakah orang yang paling besar haknya atas diri seorang lelaki? ” Sabdanya : “ Ibunya!” [HR al-Bazaar]
Begitu pula jika seorang suami masih bersifat keanak-anakan. Dirinya akan sering meminta bantuan orang tuanya untuk tangunggjawab kepada isterinya sedangkan seorang suami itu adalah ketua sebuah keluarga. Oleh kerana itu seorang suami dituntut untuk matang dari sudut emosi selaku seorang ketua keluarga sehingga mampu bersikap baik kepada keluarga yang dibinanya sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah Saw dalam sabdanya:
“ Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada isterinya dan saya adalah sebaik-baik suami di antara kalian terhadap isterinya.” [HR at-Tirmidzi dan ad-Darimi]
-Sosial
Kematangan sosial seseorang secara ringkas dapat didefinisikan sebagai kemampuan diri untuk beradaptasi dan menjalin hubungan yang sihat dan memuaskan kepada orang lain. Dan seseorang yang dikatakan matang secara sosialnya , apabila ia mampu memahami kondisi orang lain baik kekurangan mahupun kelebihan yang dimilikinya dan juga apa yang ada pada dirinya sendiri.
Apabila seseorang memiliki kemampuan seperti ini, sudah tentu akan memudahkan dirinya untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan pihak lain. Perkara ini adalah penting dalam pembinaan sebuah rumah tangga kerana sebelumnya sepasang suami isteri adalah dua orang asing yang berbeza karakter dan latar belakang serta masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Oleh itu, sepasang suami isteri yang sudah memiliki kematangan sosial insyaAllah pastinya lebih memahami kekurangan serta menerima kelebihan pasangan hidup masing-masing. Selain itu, dengan kematangan sosial ini, diharapkan seorang muslim dan muslimah yang terikat dengan tali pernikahan menjadi lebih sedar bahawa kekurangan pasangannya adalah ladang beramal soleh yang diberikan Allah buat dirinya, agar dirinya menutupi kekurangan pasangan hidupnya. Sedangkan kelebihan yang dimiliki pasangan hidupnya dapat mengingatkan dirinya kepada Allah kerana telah diberi nikmat ini dengan sentiasa bersyukur kepadaNya.
“ Mereka itu adalah pakaian , dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka “ [ al-Baqarah : Ayat 187]
Oleh kerana itu , sangat dianjurkan kepada lelaki dan wanita untuk memperbanyak melakukan silaturrahim kepada sesama muslim [ikhwah dengan ikhwah, akhawat sesama akhawat] sebagai langkah untuk menguatkan ukhuwwah dan sebagai saranan untuk mendapatkan kematangan sosial. Dengan silaturrahim akan menjadikan hati sesama muslim semakin dekat, ukhuwwah semakin kuat terjalin dan timbul perasaan untuk saling memahami dan menerima kelebihan serta kekurangan masing-masing.
Begitu juga untuk saling mengeratkan ukhuwwah dengan keluarga muslim [ yang sudah bernikah]. Perkara ini sangat bermanfaat untuk member gambaran nyata bagaimana menjalin komunikasi dengan pasangan hidupnya kelak.
“ Dan peliharalah hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu. [An-Nisaa’: Ayat 1]
-Kewangan
Kebiasaannya orang yang memiliki kemampuan dalam ekonomi lebih berani untuk bernikah. Bukan sedikit orang yang terhalang langkahnya untuk bernikah gara-gara belum berkemampuan dari segi ekonominya.
Oleh kerana itu, seseorang yang ingin berkahwin hendaklah berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki keadaan ekonominya, terutama bagi kaum lelaki yang kelak akan mempunyai tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada keluarganya.
Memperbaiki keadaan ekonomi lebih utama dilakukan kaum lelaki kerana tanggungjawab mereka untuk menafkahi keluarga . namun begitu tidaklah salah bagi kaum wanita untuk memaksimakan langkah dalam memperbaiki keadaan ekonominya demi membantu ekonomi keluarganya nanti. Sebagaimana Khadijah ra. yang memiliki keteguhan ekonomi sehingga mampu membantu Rasulullah Saw dalam menegakkan agama dan juga Zainab isteri Abdullah bin Mas’ud ra. yang ikhlas dalam membantu suaminya dalam melaksanakan kewajipan menafkahi keluarga .
Kisah ini terdapat dalam hadis berikut :
Diriwayatkan tatkala bilal memasuki rumah Rasul, Bilal berkata , “ Ada Zainab di balik pintu.” Rasul bertanya , “ Zainab yang mana? ” Bilal menjawab, “ Zainab isteri Abdullah bin Mas’ud dan Zainab wanita ansar”. Keduanya ingin bertanya kepada engkau tentang nafkah yang diberikan bagi keluarga dan anak-anak yatim yang ada dirumahnya”. Rasul bersabda : “ Kedua wanita itu mendapatkan dua pahala, iaitu pahala kekerabatan dan sedekah”. [ HR Bukhari dan Muslim]
Selain itu, Allah juga telah mengingatkan kepada kita dalam salah satu ayatNya agar merasa khuatir dan takut terhadap kesejahteraan anak keturunan kelak :
“ Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan ) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar. [an- Nisaa’ : Ayat 9]
Dalam ayat ini juga menunjukkan ekonomi yang kukuh dalam sebuah keluarga merupakan perkara yang penting dalam melahirkan generasi yang kuat. Oleh itu kita seharusnya berikhtiar sebaik mungkin dalam mencari rezeki sebagai persiapan untuk membina rumah tangga. Namun seadainya sudah berikhtiar tetapi hasilnya tidak seberapa , kita tidak perlu resah sebagaimana yang dijelaskan dalam firmanNya:
“ Katakanlah : “ Sesungguhnya Rabb-ku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki –Nya dan disempitkan (bagi siapa yang dikehendaki Nya) , akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui “ [Saba’ : Ayat 36]
Dan boleh jadi mungkin kita termasuk orang yang pintu rezekinya masih tertutup dan akan terbuka jika kita menikah. Sehingga ada yang mengatakan agar menikah untuk menjadi kaya sebagaimana dalam hadis baginda :
“ Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga).” [HR Imam ad-Dailami]
“ Kahwinilah wanita-wanita itu, kerana mereka akan mendatangkan mal (harta) ” [ HR Abu Daud, dari Urwah ]
Oleh itu, tidak selayaknya dengan alasan kekurangan harta menjadi penghalang utama langkah untuk menikah atau tidak mahu menikah seandainya kesungguhan ikhtiar dan usaha telah pun dilaksanakan sebaik mungkin.
Begitulah antara persiapan diri dalam membina bait muslim yang diidam-idamkan. Ianya tidak bermula dengan bagaimana pasangan yang ingin kita pilih namun bermula dengan membina diri kita sendiri (individu muslim) semenjak hari ini ke arah kematangan dari segala sisi batin dan lahir ke arah apa yang Allah redha. Maka apalagi yang di tunggu? Ayuh bergeraklah persiapkan diri dan lakarlah pembangunan ummah untuk masa hadapan. Moga redha Allah menemani setiap langkah.
Artikel di olah/rujuk daripada :
- Buku ' Bila Hati Rindu Menikah ' karangan Mas Udik Abdullah - Buku 'Di Jalan Dakwah Kugapai Sakinah' karangan Cahyadi Takariawan
“ Sungguh saya menyesal telah menikah” demikian kata salah seorang sahabat yang sudah pun menikah. Lantas ada yang bertanya kepadanya, kenapa? Dia menjawab, “ Kerana tidak dari dulu”. Begitulah lebih kurang perkataannya. Dia merasa menyesal kenapa harus takut menikah padahal sebenarnya tidak ada yang perlu dibimbangkan dan setelah bernikah ternyata tidaklah sesukar yang dibayangkan seperti sebelumnya. Namun takutnya menikah itu seandainya Allah dan rasul bukan menjadi tujuan pernikahan.
Memahami pernikahan sebagai sebuah mitsaqan ghaliza pastinya sedikit sebanyak mengundang keraguan dalam memulakan langkah. Namun demikian rasa ragu dan bimbang ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menunda-nunda urusan pernikahan. Langkah yang sebaiknya adalah dengan menyediakan diri.
Meluruskan niat
Sesungguhnya segala sesuatu itu adalah bergantung kepada niat, dan kita akan mendapatkan imbalannya sesuai dengan apa yang telah kita niatkan. Dalam satu kisah ada diceritakan bahawa Salim bin Abdullah pernah menulis surat kepada Umar Bin Abdul Aziz yang berisi nasihat :
“ Ketahuilah bahawa pertolongan Allah kepada hambaNya tergantung kepada kadar niatnya. Barangsiapa niatnya sempurna, maka pertolongan Allah akan sempurna. Barangsiapa niatnya berkurang , maka pertolongan itu juga akan berkurang “
Demikianlah juga dengan pernikahan. Siapapun yang hendak menikah seharusnya meluruskan niatnya terlebih dahulu, agar dimudahkan dan mendapat pertolongan dari Allah. Sebagaimana dalam hadis berikut :
“ Tiga golongan orang yang pasti mendapat pertolongan Allah, iaitu budak mukatab yang bermaksud untuk melunasi perjanjiannya, orang yang menikah dengan maksud memelihara kehormatannya, dan yang berjihad di jalan Allah”. [ Hadis riwayat at- Tirmidzi, an-Nasa’I, al-Hakim, Ahmad dan ad-Daruqutni]
Lalu sesiapapun saja yang mengharap pernikahannya diberkati Allah, maka wajiblah dirinya meluruskan niat ketika hendak menikah. Jika tanpa itu semua, maka pernikahan yang dilakukan akan jauh dari keberkahannya kerana Allah hanya akan memberkati sebuah keluarga yang dibangun dengan dilandasi niat yang benar seperti yang terdapat dalam sabda Rasulullah Saw :
“ Siapa yang menikahi wanita dengan niat menjaga pandangan mata, memelihara kemaluan, dan menjalin tali silaturrahim, maka Allah akan memberkati pasangan suami isteri berikut ”
[ Hadis Riwayat at-Tabrani]
Perdalamkan Ilmu
Sebagaimana dalam ayat-ayat cinta Nya…
“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat ” [ al-Mujadilah: Ayat 11]
Dalam kehidupan berkeluarga, apabila keluarga tersebut memiliki pengetahuan agama yang benar, maka harapan tinggi untuk keluarga tersebut menjadi keluarga yang bahagia, rezekinya akan datang dengan mudah, anggota keluarga akan saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Baginda ar-Rasul dalam sabdanya menyebut :
“ Apabila Allah menghendaki suatu keluarga menjadi keluarga yang baik, dijadikannya keluarga itu memiliki pengetahuan ajaran agama yang benar, anggota keluarga yang muda menghormati yang tua, bercukupan rezeki dalam kehidupannya, hemah dalam membelanjakan nafkahnya, dan menyedari cacat – cacat mereka dan kemudiannya melakukan taubat. Jika Allah menghendaki sebaliknya, maka ditinggalkanya mereka dalam kesesatan ” [ Hadis Riwayat ad-Dailami dari Anas ra. ]
Oleh itu, sangat dianjurkan kepada mereka yang belum menikah dan hendak menikah untuk memperdalami ilmu agama, khususnya yang berhubungan dengan masalah bagaimana membina kehidupan berkeluarga islami seperti yang ditauladankan daripada Rasulullah Saw.
Tidak kurang penting juga bagi kita untuk memperdalami ilmu kesihatan , ilmu psikologi, ilmu pendidikan yang berkaitan dengan keluarga sebagai pelengkap demi kebaikan bersama.
Ikhtiar dalam penantian
Diriwayatkan daripada Abu ‘Ubaidah bin Jarrah ra. Pernah bertanya kepada ‘ Umar ra. Sewaktu Umar lari dari penyakit taun, katanya : “ Mengapa tuan lari dari takdir Tuhan?. Umar ra menjawab : “ Betul, saya memang lari dari takdir Allah untuk pergi ke takdir pula ( takdir Allah yang lain) ”.
Maksud dari kisah ini bahawa Umar ra. lari dari takdir tibanya penyakit untuk pergi kearah takdir Allah yang lain iaitu sihat. Dan dalam menghadapi setiap ketentuan Allah, di samping dianjurkan berusaha secara zahir kita juga diperintahkan untuk berusaha secara batin dengan berdoa kepadaNya.
Begitupun dalam masalah jodoh, maka kita tidak boleh berpangku tangan. Seharusnya diri harus aktif berikhtiar dan berdoa seperti yang diajarkan Allah dalam firman-Nya :
“ Dan orang-orang yang berkata : “ Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa. [al-Furqaan : 74]
a.Ikhtiar batin .
- Menjaga kesucian diri
Setiap orang yang beriman sudah tentu mendambakan memiliki pasangan hidup yang baik, memiliki pengetahuan agama yang baik dan benar serta memiliki tujuan hidup yang mulia iaitu hanya mencari keredhaan Allah semata-mata. Oleh itu seharusnya siapa yang menginginkan pasangan hidupnya kelak adalah orang yang baik, maka dirinya harus berusaha untuk menjadi baik terlebih dahulu. Jika kita menginginkan jodoh kita kelak adalah orang yang biasa menjaga kesucian dirinya dan memiliki keimanan yang baik, maka kita juga dituntut untuk menjaga kesucian diri dan meningkatkan iman di dalam dada. Sebagaimana yang dijelaskan Allah:
“ Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik ” [an-Nuur, Ayat 24 ]
- Rajin dalam berdoa
Sesungguhnya manusia adalah makhluk yang sangat lemah, tiada daya dan kekuatan yang dimilikinya kecuali atas izin dan pertolongan Allah. Untuk itu, siapa yang menginginkan jodohnya segera datang, sangat dianjurkan untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah, agar Allah memberikan jodoh yang baik buat kita.
Langkah ikhtiar dalam berdoa pernah dicontohkan oleh salah seorang sahabat utama Rasulullah Saw iaitu Abdullah Mas’ud ra. Ia sentiasa mendoakan mereka yang masih bujang , agar segera diberi kurnia pendamping yang soleh setiap dirinya selesai membaca ayat suci al-Quran.
- Istikharah
Kita semua pastinya menginginkan pasangan hidup yang baik lahir malahan batinnya, dan sudah tentu kita tidak ingin tertipu oleh penampilan luaran yang menawan , sedangkan dalamannya sebaliknya. Maka untuk itu Allah telah memberikan jalan keluar yang baik buat hamba-hambaNya yang disampaikan daripada lisan nabiNya iaitu dengan melakukan istikharah memohon kepadaNya agar dipilihkan yang terbaik diantara pilihan yang ada.
Mari bersama telesuri kisah Zainab ketika menerima lamaran Rasulullah Saw yang diceritakan oleh Anas ra., “ Ketika masa ‘iddah Zainab sudah berakhir , Rasulullah Saw berkata kepada Zaid
: “ Lamarkanlah aku kepadanya.” Anas berkata : “ Lantas Zaid berangkat menemui Zainab yang waktu itu sedang membuat adunan tepung. Selanjutnya Zaid berkata : “ Begitu melihatnya , dadaku bergetar keras, sampai-sampai aku tidak berani memandangnya , apatah lagi menyampaikan lamaran Rasulullah Saw. Mula-mula aku membelakanginya, lalu berbalik lagi, kemudian berkata : “ Wahai Zainab , Rasulullah Saw mengutusku untuk melamarnu.” Zainab menjawab : “ Aku tidak mampu berbuat apa-apa sebelum aku melakukan istikharah (untuk mendapatkan petunjuk ) dari Tuhanku . “ Sehabis berkata demikian , Zainab terus bangun berdiri menuju tempat solat. Al-Quran (ayat) pun turun . Sesaat kemudian datanglah Rasulullah Saw lalu terus bertemu dengan Zainab tanpa izin . [HR Muslim]
Lihatlah betapa terpujinya sikap Zainab ketika datang lamaran Rasulullah kepadanya dengan mengutamakan istikharah untuk meminta pilihan yang terbaik dari Allah sedangkan yang datang melamar beliau adalah seorang utusan Allah, paling agung dan paling tinggi akhlaknya disisi Allah!
Wanita beriman manakah yang tidak ingin diperisterikan oleh baginda? Dan begitu pula Zainab, sebagai wanita beriman beliau pun tidak ingin menyia-yiakan kesempatan yang berharga ini. Namun keimanan telah menjadikannya lebih mengutamakan pilihan Allah sekalipun Rasulullah Saw datang melamarnya. Keteguhan hati Zainab inilah yang akhirnya menjadikan beliau berhak mendapatkan kedudukan yang mulia iaitu menjadi pendamping Rasulullah.
- Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolong
Tidak semua orang mendapatkan jodohnya secara cepat, ada yang lambat atau bahkan tidak dipertemukan jodohnya didunia namun insyaAllah dipertemukan di akhirat kelak . Perasaan ini pastilah dirasa lebih berat bagi mereka yang masih belum menikah sedangkan usia kian meningkat.
Menghadapi kenyataan ini maka hendakhlah kita memohon kepada Allah agar diberi kekuatan
dan kesabaran dalam menghadapi ketentuan Allah dan segera dipertemukan dengan jodoh kita
sebagaimana yang diperintahkan Allah :
“ Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh
berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. [Al-Baqarah : Ayat 45]
Begitu juga dalam ayat lain :
“Ya Tuhan kami, tuangkanlah kesabaran atas diri kami, dan kokohkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir." [ Al-Baqarah : Ayat 250 ]
- Tingkatkan nilai taqwa dan tawakal
Bagaimanakah kita sebagai hamba Allah mampu dikatakan mempunyai hubungan baik dengan Allah sebagai tuhannya? Jawapannya apabila hambaNya baik dalam taqwa dan tawakalnya kepada Allah. Oleh kerana itu yang terbaik bagi seorang muslim adalah meningkatkan taqwa dan memperbaiki tawakalnya kepada Allah agar segala sesuatu yang dihadapi menjadi mudah. Kerana Allah telah berjanji akan memudahkan dan memberi jalan keluar daripada semua permasalahan hidup bagi mereka yang bertaqwa dan bertawakal kepadaNya. Dalam firmanNya yang bermaksud:
“Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. ” [ At-Thalaq: Ayat 2 dan 3]
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Ditujukan kepada…
Mereka yang rindu membantu agama Allah
Mereka yang ingin mendekatkan diri pada sunnah kemenangan dakwah,
Mereka yang ingin menjauhkan diri dari fitnah ,
Mereka yang ingin menghadirkan batu – bata penting pada bangunan kukuh peradaban,
Mereka yang ingin menjaga diri dan juga ummat
dan
Mereka yang ingin membingkai ibadah dalam sebuah rumah tangga sakinah, mawaddah,rahmah
pada jalan para rasul...
Ayuh, menikahlah
diatasjalandakwah...
[ Akan datang ]
[ SIRI BAITUL MUSLIM ]
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa. [ Al- Furqaan: Ayat 74 ]
~ " Sungguh, pernikahan adalah untuk segala hal yang bermakna kebajikan " ~
~ Hapuskanlah air matamu Redha dan teruskanlah usahamu Pasti kau akan mengerti Hidup ini putarannya tersendiri ~
~ Hidup ini putarannya tersendiri...~
Begitulah bait lirik lagu yang dinyanyikan kumpulan firdaus.
Benar. Dalam kehidupan kita yang singkat di atas muka bumi ini ada putaran roda kehidupan yang tersendiri. Kadang kita diatas, namun tak kurang juga kadang kita dibawah. Ada naik , ada turunnya. Namun bagaimana cantiknya susunan putaran yang Allah jadikan ini, tidak pernah ada sesuatu yang terlewat pun dari hikmahNya yang Maha Indah. Dan tidak ada sesuatu yang Allah timpakan pun kepada kita dengan sia-sia. Pasti!
Hanya terkadang kita sahaja yang sulit untuk menemukan hikmah-hikmah yang tersembunyi itu.
Lalu bagaimanakah untuk kita mengatasinya? “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkan kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan),dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada ALLAH supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”
Surah Al-Imran ayat 200
Sabar itu adalah merupakan tanda keteguhan iman.
Hakikat dari sabar itu ialah tidak memprotes sesuatu yang sudah ditetapkan dalam takdir. Walaubagaimanapun, menampakkan musibah yang menimpa diri selama bukan untuk berkeluh-kesah kepada manusia lain - hal itu bukanlah sebab tiadanya kesabaran.
Dari Shuhaib ra. , Rasulullah Saw bersabda,“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik untuknya. Dan hal itu tidak ada kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan maka dia pun bersyukur, maka hal itu adalah kebaikan untuknya. Apabila dia tertimpa kesulitan maka dia pun bersabar, maka hal itu juga sebuah kebaikan untuknya.” (HR. Muslim)
Dalam riwayat lain pula, Rasulullah Saw bersabda , “Apabila Allah menghendaki hambaNya mendapatkan kebaikan maka Allah segerakan baginya hukuman di dunia. Dan apabila Allah menghendaki keburukan untuknya maka Allah akan menahan hukumannya sampai akan disempurnakan balasannya kelak di hari kiamat.” (HR. Tirmidzi)
Ada kalanya Allah memberikan musibah kepada hambaNya yang beriman dalam rangka membersihkan dirinya dari dosa-dosa yang pernah dilakukannya supaya kelak apabila di akhirat dia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan beban dosa yang berkurangan. Sungguh, Allah memberikan kurnia kepada siapa saja dengan keutamaanNya dan Allah juga memberikan hukuman kepada sesiapa sahaja dengan penuh keadilan.
Kini, kaitkan pula makna kesabaran ini dengan putaran roda. Contohnya roda basikal. Apakah yang akan menyebabkan sebuah basikal untuk terus bergerak tanpa terjatuh? Dengan kayuhan bukan?
Oleh itu teruslah mengayuh kerana kita kita tidak akan terjatuh selama kita terus mengayuh. Namun jika ada halangan dihadapan laluan yang akan membuatkan kita jatuh, bangun dan bangkitlah semula.
Dan teruslah mengayuh... ^___^
Percayalah bahawa kehidupan ini selalu menyembunyikan pengalaman pelajaran berharga untuk kita tetap melanjutkan kehidupan yang lebih bermakna. Lalu hiasilah hati, lisan dan gerak geri anggota badan kita dengan keindahan sabar. Moga sentiasa sabar tak berbelah bagi!