b. Ikhtiar Lahir
- Menawarkan diri
Jika pihak lelaki mempunyai hak untuk melamar dan pihak wanita mempunyai hak untuk menolak, maka sebaliknya pun begitu juga. Pihak wanita juga berhak untuk menawarkan diri kepada pihak lelaki. Namun , perkara ini jarang dilakukan oleh kaum hawa kerana perasaan malu yang mendominasi diri. Dalam syariat perkara ini tidak dilarang. Bukankah sahabat Umar juga pernah menawarkan Hafsah puterinya kepada Abu Bakar ra. mahupun Uthman bin Affan ra. dan perkara ini tidak menjadikan darjat Hafsah turun kerana Hafsah akhirnya dilamar oleh Rasulullah saw manusia terbaik daripada ummat ini.
Hal ini diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar ra., beliau berkata bahawa :
“ Umar bin Khattab ra. ketika Hafsah menjanda dari Khunais bin Khudzafah as-Sahmi ra. Umar bin Khattab ra berkata : “ Aku datang kepada kepada Uthman bin Affan ra. lalu aku tawarkan kepadanya Hafsah. Maka Uthman berkata “ Aku akan melihat urusanku “ lalu aku berdiam selama beberapa malam , kemudian Uthman datang kepadaku seraya berkata , “ Tampak olehku bahawa pada saat-saat ini aku belum berhasrat untuk berkahwin.” Umar berkata , ‘ Lalu aku temui Abu Bakar as-Siddiq ra. lantas kukatakan , ‘ Jika engkau mahu , aku ingin mengahwinkan engkau dengan Hafsah binti Umar ‘. Maka Abu Bakar diam sahaja dan tidak menjawab sedikit pun dan aku merebutnya setelah Uthman. Maka aku diam selama beberapa malam, kemudian Rasulullah Saw melamarnya, lalu aku nikahkan beliau dengan baginda ar-Rasul. Setelah itu Abu Bakar menemuiku seraya berkata, “ Engkau telah menemuiku untuk menawarkan Hafsah kepadaku , tetapi aku tidak menjawab sedikitpun. Umar berkata ‘Benar’. Abu Bakar berkata , “ Tidak ada yang menghalangiku untuk menjawab tawaranmu itu melainkan aku telah mengetahui bahawa Rasulullah Saw pernah menyebut-nyebut dia (Hafsah) , maka aku tidak ingin membukakan rahsia Rasulullah Saw . dan seandainya Rasulullah Saw meninggalkannya, niscaya aku menerimanya . ” [ HR Bukhari]
- Pertolongan daripada pemimpin ummat
Meminta bantuan kepada pihak yang dianggap mempunyai pengaruh seperti pemimpin ataupun guru dalam menjemput jodoh tidaklah salah. Ada beberapa contoh dalam perkara ini sebagaimana dalam riwayat berikut :
Sahl bin Sa’ad as Sa’idi ra. berkata : “ Bahawa seorang wanita datang kepada Rasulullah Saw lalu seorang lelaki dari sahabat beliau berdiri seraya berkata, “ Wahai Rasulullah , jika engkau tidak berminat kepadanya , maka kahwinkanlah aku dengannya. Maka Rasulullah Saw berkata , “ Pergilah, sesungguhnya aku telah mengahwinkan kamu dengannya dengan ayat Al-Quran yang engkau hafal (dan engkau ajarkan kepadanya sebagai maskahwin ) ” [HR Bukhari dan Muslim]
Ada juga dalam satu riwayat lain seorang lelaki yang mengadukan wajahnya yang buruk sementara dirinya juga termasuk orang yang miskin kepada Rasulullah Saw kerana kesulitan mendapatkan jodohnya. Maka oleh itu Rasulullah Saw disuruh melamar seorang putrid fulan untuk beliau . dari situ ternyata Allah memberi kemudahan dengan menemukan jodohnya. Demikianlah bahawa meminta bantuan pemimpin ummat atau pihak lain seperti naqib untuk mendapatkan jodoh adalah tidak salah dan sebagai langkah ikhtiar kita.
- Membina kematangan diri
- Emosional
Mendewasakan emosi sebelum memasuki dunia pernikahan adalah sangat penting bagi kedua pasangan yang hendak menikah. Pada saat memasuki perkahwinan akan lebih utama untuk berdikari secara emosional. Seharusnya kita mampi melepaskan kebergantungan dan keterikatan emosi dengan orang tua dan kerabat yang lain.
Apabila rumah tangga yang masih belum terikat secara emosi antara suami isteri akan mudah menyebabkan isteri lebih kuat ikatan ikatan emosi kepada orang tua berbanding kepada suaminya. Setiap kali datang permasalahan ia akan terus lari kepada orang tuanya tanpa berusaha terlebih dahulu menyelesaikannya bersama suaminya. sedangkan ketaatan yang lebih utama bagi seorang wanita yang sudah mempunyai suami setelah taat kepada Tuhannya adalah taat kepada suaminya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah :
“ Sebab itu maka wanita yang solehah , ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). [An-Nisaa’ ; Ayat 34]
Juga dalam hadis Rasulullah Saw :
“ Aisyah ra. berkata : “ Saya bertanya kepada Rasulullah Saw “ Siapakah orang yang paling besar haknya terhadap seorang wanita? Sabdanya: Suaminya! ” Lalu saya bertanya: “ Siapakah orang yang paling besar haknya atas diri seorang lelaki? ” Sabdanya : “ Ibunya!” [HR al-Bazaar]
Begitu pula jika seorang suami masih bersifat keanak-anakan. Dirinya akan sering meminta bantuan orang tuanya untuk tangunggjawab kepada isterinya sedangkan seorang suami itu adalah ketua sebuah keluarga. Oleh kerana itu seorang suami dituntut untuk matang dari sudut emosi selaku seorang ketua keluarga sehingga mampu bersikap baik kepada keluarga yang dibinanya sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah Saw dalam sabdanya:
“ Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada isterinya dan saya adalah sebaik-baik suami di antara kalian terhadap isterinya.” [HR at-Tirmidzi dan ad-Darimi]
- Sosial
Kematangan sosial seseorang secara ringkas dapat didefinisikan sebagai kemampuan diri untuk beradaptasi dan menjalin hubungan yang sihat dan memuaskan kepada orang lain. Dan seseorang yang dikatakan matang secara sosialnya , apabila ia mampu memahami kondisi orang lain baik kekurangan mahupun kelebihan yang dimilikinya dan juga apa yang ada pada dirinya sendiri.
Apabila seseorang memiliki kemampuan seperti ini, sudah tentu akan memudahkan dirinya untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan pihak lain. Perkara ini adalah penting dalam pembinaan sebuah rumah tangga kerana sebelumnya sepasang suami isteri adalah dua orang asing yang berbeza karakter dan latar belakang serta masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Oleh itu, sepasang suami isteri yang sudah memiliki kematangan sosial insyaAllah pastinya lebih memahami kekurangan serta menerima kelebihan pasangan hidup masing-masing. Selain itu, dengan kematangan sosial ini, diharapkan seorang muslim dan muslimah yang terikat dengan tali pernikahan menjadi lebih sedar bahawa kekurangan pasangannya adalah ladang beramal soleh yang diberikan Allah buat dirinya, agar dirinya menutupi kekurangan pasangan hidupnya. Sedangkan kelebihan yang dimiliki pasangan hidupnya dapat mengingatkan dirinya kepada Allah kerana telah diberi nikmat ini dengan sentiasa bersyukur kepadaNya.
“ Mereka itu adalah pakaian , dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka “ [ al-Baqarah : Ayat 187]
Oleh kerana itu , sangat dianjurkan kepada lelaki dan wanita untuk memperbanyak melakukan silaturrahim kepada sesama muslim [ikhwah dengan ikhwah, akhawat sesama akhawat] sebagai langkah untuk menguatkan ukhuwwah dan sebagai saranan untuk mendapatkan kematangan sosial. Dengan silaturrahim akan menjadikan hati sesama muslim semakin dekat, ukhuwwah semakin kuat terjalin dan timbul perasaan untuk saling memahami dan menerima kelebihan serta kekurangan masing-masing.
Begitu juga untuk saling mengeratkan ukhuwwah dengan keluarga muslim [ yang sudah bernikah]. Perkara ini sangat bermanfaat untuk member gambaran nyata bagaimana menjalin komunikasi dengan pasangan hidupnya kelak.
“ Dan peliharalah hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu. [An-Nisaa’: Ayat 1]
- Kewangan
Kebiasaannya orang yang memiliki kemampuan dalam ekonomi lebih berani untuk bernikah. Bukan sedikit orang yang terhalang langkahnya untuk bernikah gara-gara belum berkemampuan dari segi ekonominya.
Oleh kerana itu, seseorang yang ingin berkahwin hendaklah berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki keadaan ekonominya, terutama bagi kaum lelaki yang kelak akan mempunyai tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada keluarganya.
Memperbaiki keadaan ekonomi lebih utama dilakukan kaum lelaki kerana tanggungjawab mereka untuk menafkahi keluarga . namun begitu tidaklah salah bagi kaum wanita untuk memaksimakan langkah dalam memperbaiki keadaan ekonominya demi membantu ekonomi keluarganya nanti. Sebagaimana Khadijah ra. yang memiliki keteguhan ekonomi sehingga mampu membantu Rasulullah Saw dalam menegakkan agama dan juga Zainab isteri Abdullah bin Mas’ud ra. yang ikhlas dalam membantu suaminya dalam melaksanakan kewajipan menafkahi keluarga .
Kisah ini terdapat dalam hadis berikut :
Diriwayatkan tatkala bilal memasuki rumah Rasul, Bilal berkata , “ Ada Zainab di balik pintu.” Rasul bertanya , “ Zainab yang mana? ” Bilal menjawab, “ Zainab isteri Abdullah bin Mas’ud dan Zainab wanita ansar”. Keduanya ingin bertanya kepada engkau tentang nafkah yang diberikan bagi keluarga dan anak-anak yatim yang ada dirumahnya”. Rasul bersabda : “ Kedua wanita itu mendapatkan dua pahala, iaitu pahala kekerabatan dan sedekah”. [ HR Bukhari dan Muslim]
Selain itu, Allah juga telah mengingatkan kepada kita dalam salah satu ayatNya agar merasa khuatir dan takut terhadap kesejahteraan anak keturunan kelak :
“ Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan ) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar. [an- Nisaa’ : Ayat 9]
Dalam ayat ini juga menunjukkan ekonomi yang kukuh dalam sebuah keluarga merupakan perkara yang penting dalam melahirkan generasi yang kuat. Oleh itu kita seharusnya berikhtiar sebaik mungkin dalam mencari rezeki sebagai persiapan untuk membina rumah tangga. Namun seadainya sudah berikhtiar tetapi hasilnya tidak seberapa , kita tidak perlu resah sebagaimana yang dijelaskan dalam firmanNya:
“ Katakanlah : “ Sesungguhnya Rabb-ku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki –Nya dan disempitkan (bagi siapa yang dikehendaki Nya) , akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui “ [Saba’ : Ayat 36]
Dan boleh jadi mungkin kita termasuk orang yang pintu rezekinya masih tertutup dan akan terbuka jika kita menikah. Sehingga ada yang mengatakan agar menikah untuk menjadi kaya sebagaimana dalam hadis baginda :
“ Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga).” [HR Imam ad-Dailami]
“ Kahwinilah wanita-wanita itu, kerana mereka akan mendatangkan mal (harta) ” [ HR Abu Daud, dari Urwah ]
Oleh itu, tidak selayaknya dengan alasan kekurangan harta menjadi penghalang utama langkah untuk menikah atau tidak mahu menikah seandainya kesungguhan ikhtiar dan usaha telah pun dilaksanakan sebaik mungkin.
Begitulah antara persiapan diri dalam membina bait muslim yang diidam-idamkan. Ianya tidak bermula dengan bagaimana pasangan yang ingin kita pilih namun bermula dengan membina diri kita sendiri (individu muslim) semenjak hari ini ke arah kematangan dari segala sisi batin dan lahir ke arah apa yang Allah redha. Maka apalagi yang di tunggu? Ayuh bergeraklah persiapkan diri dan lakarlah pembangunan ummah untuk masa hadapan. Moga redha Allah menemani setiap langkah.
Artikel di olah/rujuk daripada :
- Buku ' Bila Hati Rindu Menikah ' karangan Mas Udik Abdullah
- Buku 'Di Jalan Dakwah Kugapai Sakinah' karangan Cahyadi Takariawan
Artikel di olah/rujuk daripada :
- Buku ' Bila Hati Rindu Menikah ' karangan Mas Udik Abdullah
- Buku 'Di Jalan Dakwah Kugapai Sakinah' karangan Cahyadi Takariawan
No comments:
Post a Comment