Friday

Ingatlah selalu...

Picture by OrangUfan of Deviant Art

Mari mengingati mati sebagai motivasi bagi hati. 

Rasulullah s.a.w bersabda kepada para sahabatnya, “ Adakah setiap kamu ingin masuk syurga? Jawab mereka, “ Ya.” Kemudian Baginda s.a.w bersabda, “ Pendekkan angan-anganmu dan malulah kepada Allah.” Mereka berkata: “ Kami telah malu kepada Allah.” Rasulullah bersabda lagi, “ Demikianlah itu bukanlah malu sebenarnya. Akan tetapi malu kepada Allah ialah apabila engkau dapat mengingati kubur dan seksanya…”

Penekanan untuk mengingati mati bertujuan untuk “ menghidupkan “ jiwa kita untuk maju bersatu dan lebih giat berusaha. 
Menyusuri perjuangan generasi yang banyak mengingati mati pada zaman Rasulullah dan para sahabat meninggalkan kehebatan yang bersisa sehingga kini.

Orang yang banyak mengingati mati akan ligat, sibuk dan produktif dalam menyediakan bekalan untuk di akhirat kelak. 
Mereka akan aktif merancang dan bertindak demi memilikkan pahala kebaikan dan kebajikan. 
Banyak mengingati mati bagi kita sebagai seorang pemimpin [tidak kira dalam diri sendiri, keluarga mahupun oganisasi] akan mengingatkan kita tanggungjawab yang digalas dan kesannya setelah mati dan penghisaban oleh Allah di akhirat nanti. 

Mengingati mati akan menyebabkan kita membuang sikap bertangguh. 
Mengingati mati akan mendorong kita melaksanakan segala amanah dan tangungjawab dari manusia apatah lagi yang sebenarnya adalah dari Allah. 
Oleh itu, ingatlah mati selalu!

Pemimpin dan Kepimpinan





Pemimpin di dalam jamaah adalah umpama kepala di dalam tubuh. 
Inilah yang menentukan segala tujuan dan di sinilah berhimpunnya segala maklumat. 
Tanpa kepimpinan yang baik, organisasi tidak mampu mencapai matlamatnya.
Syarat minimum yang diletakkan oleh Islam dalam persoalan pelantikan pemimpin ialah quwwah dan amanah.
“Sebaik-baik orang yang engkau upah itu adalah orang yang kuat (quwwah) lagi boleh dipercayai (amanah)”(al-Qasas, 26). 
Quwwah adalah kekuatan atau kemampuan untuk melakukan tugas yang diberikan. 
Quwwah bergantung kepada bidang yang diamanahkan.Quwwah boleh dihuraikan melalui tiga aspek utama; Kemahiran tugas, kemahiran mengurus dan kemahiran hubungan perorangan (interpersonal). 
Amanah pula merujuk kepada sikap tanggungjawab dalam mentadbir segala urusan menurut hukum Islam. Sifat ini berkait rapat dengan sifat-sifat akhlak Islam yang lain seperti taqarrub dan ikhlas.

Abu Zar r.a, telah berkata: “Aku bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w! Tidak mahukah kamu melantik aku memegang satu jawatan? Lantas baginda menepuk bahuku dengan tangannya lalu bersabda:
“Wahai Abu Zar sesungguhnya engkau ini lemah dan sesungguhnya itu adalah amanah. Sesungguhnya itu (jawatan) kesengsaraan dan penyelesalan pada hari kiamat kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan haknya dan menyempurnakan apa yang wajib ke atasnya dan ke atas jawatan itu”. (Riwayat Muslim)

Pemimpin perlu menekankan usaha untuk mempengaruhi dan mendorong pimpinannya. Pemimpin yang hanya memberi arahan tetapi gagal untuk mempengaruhi dan meyakinkan pimpinanya adalah pemimpin yang lemah. 
Malahan, ianya juga akan menyebabkan para pimpinannya mula tidak mempercayainya dan mengalami ketegangan perasaan serta akan kehilangan semangat. Mestilah diingat bahawa thiqah bukanlah sesuatu yang boleh diminta daripada pimpinan. Thiqah diberi oleh pimpinannya, bergantung kepada kualiti kepimpinannya.

Kualiti kepimpinannya pula bergantung kepada keupayaan jamaahnya dan sejauh manakah ia berjaya menggunakan pengaruh dalam menggerakkan mereka untuk melakukan kerja. Pemimpin merupakan lambang kesatuan, keutuhan dan disiplin barisannya. Oleh sebab itu pimpinan di dalam jamaah amatlah penting dan kedudukanya ialah di tempat yang utama. Di antara perkara-perkara yang perlu ada pada seseorang untuk mempertingkatkan kualiti kepimpinannya adalah:

1. Mengenali pimpinannya.
2. Memahami medan dakwah dengan baik.
3. Berupaya membuat keputusan.
4. Tauladan yang baik.
5. Kemampuan mentarbiahkan ahli.
6. Keupayaan merumuskan dan menyampaikan arah organisasi.
7. Kepemimpinan proaktif.
8. Keupayaan berkomunikasi.


(Diolah daripada artikel Jalan Dakwah & Pengurusan Dakwah)